PENYANYI terkenal Indonesia, Judika mengegarkan pentas Axiata Arena di hadapan 12,000 penonton yang hadir ke Konsert Rockmantic Night Judika And The Gang.

Lebih menggamatkan suasana apabila Judika menyampaikan tiga buah lagu yang dipopularkan oleh penyanyi Malaysia iaitu Sejati, Buih Jadi Permaidani, dan Cindai nyanyian asal Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Menurut Judika, atau nama sebenarnya Judika Nalon Abadi Sihotang, banyak lagu yang menjadi pilihannya untuk dipersembahkan, namun dia mahu sesuatu yang baharu untuk dipersembahkan kepada peminatnya di Malaysia.

“Banyak lagu kegemaran dipilih dari Malaysia, antaranya Isabella, Gerimis Mengundang tapi saya mahu sesuatu yang baharu dan belum pernah dipersembahkan di Malaysia.

“Selain sudah lama dengar, saya pilih lagu Sejati kerana saya suka Datuk Awie dan kumpulan Wings.

"Lagu Buih Jadi Permaidani dipilih kerana lagu itu sangat 'happening' di Indonesia, selain tertarik dengan melodinya.

"Biarpun lagu Cindai sangat mencabar daripada segi lirik yang banyak dan bertukar-tukar, tetapi, disebabkan suka, saya pilih untuk menyanyikan," katanya kepada media.

12,000 penonton hadir ke Konsert Rockmantic Night Judika And The Gang.

Selain Judika, Rockmantic Night Judika And The Gang turut menampilkan Haqiem Rusli, Shila Amzah, dan Marsha selaku penyanyi jemputan untuk konsert tersebut.

Malam itu juga menyaksikan tiga bakat baharu dari Indonesia iaitu Dnanda, Daniel dan Axin berkongsi pentas selaku penyanyi undangan.

Judika bergambar bersama penyanyi yang turut menjayakan konsert Rockmantic Night Judika And The Gang antaranya Marsha, Shila Amzah dan Haqiem Rusli

Konsert yang berlangsung selama tiga jam itu diiringi oleh pemuzik orkestra di bawah pimpinan maestro muzik Indonesia, Tohpati.

Judika menyanyikan lebih 20 buah lagu antaranya Mama Papa Larang, Bukan Dia Tapi Aku, Jikalau Kau Cinta, Aku Yang Tersakiti dan Bagaimana Kalau Aku Tidak Baik Baik Saja.